Your Shopping Cart
Total Items:
SubTotal:
Tax Cost:
Shipping Cost:
Final Total:

Monday, December 6, 2010

Kebarung Gabungan Kebaya & Kurung

Kebarung Gabungan Kebaya & Kurung
Oleh: ROSLAH OTHMAN
JIKA diperhatikan, fesyen baju masa kini kadang-kadang berputar kembali dengan pengambilan bentuk pakaian yang lama dengan sedikit pengubahsuaian dibuat mengikut cita rasa terkini.

Lihat sahaja bentuk baju kebarung, ia dikatakan mirip baju belah yang dipakai semasa zaman datuk nenek moyang kita dahulu.

Pensyarah Dalam Bidang Seni Reka Tekstil di Jabatan Seni dan Rekaan Fesyen, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Dr. Norwani Md. Nawawi ketika memperkatakan tentang baju kebarung ini mengakui pada awal tahun 1990-an, baju belah atau baju labuh yang gelobor muncul semula sebagai pakaian yang amat digemari oleh wanita Melayu.

Namun demikian, baju ini telah mendapat nama baru, iaitu baju kebarung yang merupakan gabungan singkatan perkataan baju kebaya dan baju kurung.

Berbanding fesyen pakaian lain, kata Norwani, kebarung sangat sesuai untuk wanita sama ada mereka yang berbadan kurus mahupun gempal. Malah ciri-ciri tersendiri yang terdapat pada kebarung, iaitu berpotongan longgar dan labuh bukan sahaja memberi keselesaan, bahkan memperlihatkan gaya sopan dan anggun si pemakai.

Norwani yang juga penulis buku Pakaian Melayu Sepanjang Zaman terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang memuatkan maklumat pakaian orang Melayu dari dahulu kala hingga kini, turut menerangkan bagaimana perkembangan kemajuan dan kemodenan Barat juga mempengaruhi cara berpakaian orang Melayu. Ini termasuklah baju kurung moden, kebaya moden serta kebarung.

Dalam buku yang ditulis bersama suami, Abbas Alias, beliau turut menerangkan bagaimana dengan idea dan kebijaksanaan si pereka menggabungkan ciri-ciri dalam kebaya dan baju kurung menghasilkan fesyen kebarung yang menarik dan unik.

Menerangkan lebih lanjut beliau berkata, pada tahun 1930-an baju belah yang dipakai lebih kurang sama dengan baju kebarung tetapi labuh baju belah ketika itu hanya ke tumit kaki sahaja pada tahun 1930 an iaitu lebih kurang enam inci sahaja kain sarung yang dapat dilihat daripada labuh baju.

Labuh baju kebarung, biasanya di bawah sedikit paras lutut dan ia tidak gelobor seperti baju belah dan tidak pula mengikut bentuk badan seperti baju kebaya moden tahun 1950-an.

‘‘Perbezaan ini terletak pada cara membuat pesak dan kekek baju. Pesak dan kekek baju kebarung sama seperti yang dilihat pada baju masa kini dan disebabkan inilah, nama baju kurung diambil sebagai sebahagian daripada nama kebarung itu, nama kebaya pula diterima kerana keadaan belahan pada bahagian hadapan baju,’’ jelasnya.
Norwani menerangkan, baju kebarung kelihatan lebih mirip kepada baju belah daripada baju kebaya moden tahun 1950-an kerana keadaan bajunya yang longgar.

Manakala baju kebaya moden tahun 1950-an tidak berpesak atau berkekek. Baju kebaya 1930-an atau baju kebaya labuh sudah ada potongan seperti baju kebarung kerana bentuknya mempunyai pesak dan kekek.
‘‘Orang tua yang tahu tentang baju ini tidak gemar dengan ciptaan nama kebarung, berlainan wanita masa kini nama kebarung lebih ringkas dan jelas,’’ ujarnya lagi.

Dari segi pemilihan fabrik pula, jika dahulu baju belah atau kebaya diperbuat daripada kain tenun, songket dan kain import seperti kain kapas dari India, tidak terkecuali sutera dari Cina dan batik dari Indonesia, kini pelbagai jenis fabrik dan aksesori digunakan.

Antaranya kain batik conteng, organza, sifon dan sutera dari Korea, India dan Jepun.
Akhir tahun 1990-an, kain jarang seperti sifon, kasa, organza dan sutera kasa semakin menjadi pilihan kepada pereka fesyen.
Dengan idea dan kreativiti, kata Norwani, pereka menambah hiasan pada pakaian ini dengan manik dan labuci.
Pada tahun 1998, pakaian ini direka menggunakan kain sutera lukisan tangan yang sangat menarik dengan corak bermotif bunga tempatan serta corak abstrak. Istimewanya, kebarung bukan sahaja sesuai dipakai wanita Melayu, tetapi juga wanita kaum Cina untuk ke majlis rasmi.

Seiring dengan perkembangan dunia fesyen, fesyen pakaian Melayu juga tidak terkecuali, daripada bentuk baju kebarung ini, timbul pula bentuk dan cara memakai yang baru.

‘Hari ini ada pakaian Melayu yang berbentuk kebarung tetapi tidak berkelepet di bahagian lehernya dan disematkan dengan kerongsang. Ada juga yang berkelepek dan ditambah pula dengan lidah baju seperti baju Kota Bharu,’’ jelasnya.
Beliau juga menambah pada tahun 1998, pereka fesyen telah mereka fesyen baju Melayu yang berjaket, iaitu mengadakan baju panjang yang tiada berlengan di bahagian dalam dan baju labuh berlengan panjang di bahagian luar.
Baju jaket bahagian luar ini berkain nipis atau jarang dan berpotongan baju kebaya labuh. Baju seperti ini tidak lagi dinamakan kebarung tetapi masih dalam kategori baju kebaya moden kerana potongannya masih mengekalkan bentuk kebaya. Pakaian seperti ini dapat memberi ruang kepada pereka dan pemakai mengilhamkan idea rekaan kontemporari yang bercorak eksklusif serta mengekalkan ciri-ciri kesopanan wanita Melayu.

Menceritakan secara ringkas tentang buku Pakaian Melayu Sepanjang Zaman, Norwani mengakui ia didorong kepada kecintaan serta rasa ingin tahu terhadap sejarah warisan bangsa di samping menyedari hasil penulisan bahan penyelidikan akademik tentang sejarah asal usul perkembangan pakaian orang Melayu di Tanah Melayu amat sedikit diterbitkan.

Norwani yang kini dalam proses menyiapkan buku tentang Kain Limar, salah satu tektil Melayu itu turut mengalu-alukan individu yang berminat berkongsi tentang sejarah asal usul perkembangan pakaian dan sebagainya dengan menghubungi beliau di emel: nmn572000@yahoo.com.


Info buku Pakaian Melayu Sepanjang Zaman
*Diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).


Maklumat
Utusan Malaysia
27 Jun 2007
Add to Cart More Info

0 comments:

Post a Comment

IKLAN